Jeddah

7 hari di Jeddah merupakan hari-hari yang paling mencabar. Bukan kerana perintah berkurung 16 jam, risiko keselamatan rumah, bunyi das-das tembakan yang dilepaskan di udara, atau bekalan makanan yang terhad. Semua itu di mesir. Dan di Jeddah, faktor-faktor yang disebutkan langsung tidak menjadi masalah. Mungkin, populasinya padat, dan kami hanya tidur di atas carpet berbantalkan timbunan baju. Tetapi itu juga bukan sesuatu untuk dirunsingkan. Namun yang mencabar diri ialah masa.

Masa
Terlalu lapang masa di Jeddah. Hari berganti hari, tiada aktiviti yang boleh dilakukan. Kebenaran untuk keluar juga tidak diberi kerana kami hanya diberi visa sementara untuk menginap di asrama tabung haji sahaja. Plug dan extension pula terhad. Tidak ramai yang boleh mengunakan laptop dalam masa yang sama. Terpaksa berganti-ganti. Maka kebanyakkan masa dihabiskan dengan makan, tidur, kemudian bersembang, dan putarannya berulang semula. Mujur sedikit persiapan sudah dilakukan. Aku ditemani buku-buku ilmiah yang aku bawa dari mesir. Bersertakan pen dan buku nota kecil untuk aku menulis. Juga dengan camera dslr yang aku bawa ke mana-mana sahaja setiap kali aku berjaulah atau bermusafir. Walaubagaimanapun, itu masih belum cukup untuk aku mengelakkan masa-masa berlalu tampa perkara-perkara yang berfaedah untuk dilakukan. Sungguh masa itu memberi tekanan. Terasa rugi kerana tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ditambahkan tekanan itu dengan jadual masa penerbangan untuk pelajar-pelajar pulang ke Malaysia yang tidak menentu dan waktu-waktu penerbangan yang tertangguh. Sungguhpun begitu aku tidak menyalahkan pihak urussetia kerana sudah tentu menguruskan penginapan, makanan, dan penerbangan pulang ke Malaysia bukan sesuatu yang mudah. Aku yakin mereka telah memberikan yang terbaik. Namun beginilah yang telah ditentukan-Nya untuk kami. Cuma perlu mencari pengajaran dan jalan penyelesaian yang terbaik.

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran. (Al-'Ashr 1-3)

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.


Marah
Sudah cukup dengan peranan media barat yang mengapi-apikan keadaan di mesir serta menyebarkan fitnah dan tafsiran yang melampaui batas, perkara-perkara yang berlaku di Jeddah tidak kurang hebatnya dalam menguji kesabaran.

Sabda Rasulullah S.A.W.
Orang yang kuat bukanlah yang pandai bergulat, namun orang yang kuat adalah orang yang menahan dirinya ketika marah.

Daripada Abu Hurairah r.a.:
Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari.


Ditenangkan juga hati.
Peristiwa yang betul-betul menguji ialah sewaktu menghantar passport ke kaunter urussetia untuk urusan penempahan tiket pulang ke Malaysia. Sistem yang dilaksanakan adalah pelajar yang tiba awal diaturkan untuk pulang awal dan pelajar yang tiba kemudian mengusuli selepasnya. Pengumuman dibuat untuk mahasiswa-mahasiswa dari mesir yang tiba di Jeddah pada 5/2 dari 12.00 tengahmalam hingga 12.00 tengahhari menghantar passport dahulu. Apa yang berlaku ialah ada dikalangan pelajar yang tiba selepas pukul 12.00 tengahhari turut menghantar passport. Ada juga yang tiba pada 6/2 juga menghantar sama. Aku tiba pada 11.30malam 5/2. Oleh kerana itu aku bersama beberapa rakan lain tidak sanggup untuk menghantarnya awal kerana takut-takut ada yang sampai awal terambil haknya. Disebabkan beberapa masalah, urussetia tidak mempunyai rekod tentang ketibaan pelajar-pelajar di jeddah sama ada awal atau lewat. Dan disebabkan itu, ramai yang mengambil kesempatan. Tiba giliran kami untuk menghantar passport, lain pula jadinya. Rakan yang beratur di hadapan diberikan passport oleh rakan-rakan lain yang tidak ada di dalam barisan. Bagi seorang pelajar, ada yang memegang lebih 10 passport. Situasi menjadi semakin tegang apabila orang yang sedang beratur di belakang mula berasa marah dengan barisan yang tidak bergerak dan perkataaan-perkataan kesat mula dikeluarkan sehingga hampir-hampir menjadi perang mulut. Nampak masing-masing sudah mula mengutamakan diri sendiri. Walaupun giliran kami untuk menghantar passport, kami mengambil keputusan untuk menghantar pada waktu-waktu akhir.

Mengapa tidak membeli tiket persendirian?
Alhamdulillah, aku dan keluarga mampu membeli tiket persendirian. Namun terasa berat juga membeli. Jauh dalam lubuk hati terfikir yang kemampuan aku dari segi kewangan tidak dinikmati oleh semua. Aku mendapat tajaan MARA, tetapi masih ramai lagi yang datang ke mesir untuk menuntut ilmu dengan duit hasil usaha mak dan ayah sendiri. Bukan semuanya datang daripada keluarga berada. Usah diceritakan pula tentang pelajar-pelajar dirasat yang mengharapkan ehsan daripada badan kebajikan anak negeri (BKAN) menghulurkan zakat semata-semata dan ada juga yang berkeluarga dan terpaksa berniaga. Ada juga pelajar yang terpaksa pulang lambat menolong pihak urussetia asrama tabung haji Jeddah menguruskan hal-ehwal pelajar lain. Sekurang-kurangnya, aku ingin berada dalam kelompok yang sama.

Ada perkara lain yang mana aku memerlukan duit untuk laksanakan. Tidak sampai hati juga meminta duit daripada Ibu.

Andai aku pulang awal ke Malaysia pula, belum tentu lagi waktu-waktu di sini aku mampu mengisi dengan sepenuhnya. Sekurang-kurangnya dengan kekosongan hiburan si Jeddah membuatkan aku lebih rajin membelek bahan-bahan ilmiah.

Bantuan
Alhamdulillah, masa kami sedikit terisi dengan program-program terbuka kecil-kecilan yang dibuat oleh ikhwah-ikhwah ISMA mesir. Banyak pengisian yang diberi. Kami juga sempat beriadah apabila ada sahabat kami dari muhafazah lain yang sudah pulang lebih awal meninggalkan sebiji bola sepak untuk digunakan.

Pengajaran
Berat fikiran dalam melayani perasaan. Namun kami berbincang dan sama-sama menenangkan hati masing-masing. Setelah itu, sebenarnya banyak pengajaran yang kita boleh ambil. Bila kita lihat semula, mengapa perkara-perkara seperti di atas berlaku. Andai dikatakan kerana sistem yang kurang pemantauan, jumlah pelajar yang terlalu ramai dan keadaan yang agak mendesak, mungkin juga. Tetapi itu bukanlah masalah utama. Jawapan sebenar terletak pada ukhuwah kita. Tali persaudaraan kita sesama muslim sebenarnya masih belum cukup kuat lagi. Kita gagal bersangka baik sesama sahabat apatah lagi mahu mencapai tahap mengutamakan orang lain. Husnuzon itu adalah serendah-rendah ukhuwah dan i'sar itu adalah setinggi-tingginya. Apabila keadaan mendesak, kita cendurung mementingkan diri sendiri. Akan tetapi kita perlu yakin, apabila kita menjaga hak seseorang, orang lain akan menjaga hak kita. Jika kita mengambil hak seseorang, orang lain akan mengambil hak kita. Lambat laun, mungkin bukan dalam kehidupan duniawi, Allah akan membalas segala kebaikan dengan kebaikan dan segala keburukan dengan keburukan. Jadi jangan takut untuk mengalah terhadap sesuatu perkara dan hiduplah dengan memberi kerana memberi itu mendatangkan bahagia.

Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.
Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi.


Sahabat yang baik adalah satu nilai yang tiada tolak bandingnya. Bila-bila kita terasa susah hati, terasa berat bebanan yang dipikulkan, sahabatlah yang akan meringankan. Satu hari itu, berlaku masalah apabila no giliran aku tertindih dengan no giliran orang lain. Bermakna ada dua pelajar yang mempunyai no giliran yang sama. Aku dan seorang lagi pelajar akhawat. Namaku terpaksa dipindahkan ke senarai nama penerbangan lain untuk beri laluan kepada pelajar akhawat dahulu. Waktu itu mukaku akan muram. Dan seorang sahabat berkata : "Sebenarnya Allah nak menguji kau. Orang yang banyak menyuruh orang bersabar sentiasa akan diuji untuk paling bersabar" Aku hargai kata-kata ini,

Bersabar dan bersyukur. Sesungguhnya sabar itu separuh daripada iman.
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
Al-'Ankabuut Ayat 2-3

Andai di sini jika kita mahu cepat pulang ke Malaysia kita boleh membeli tiket persendirian. Tetapi jikalau di padang Mashar kelak tidak akan ada jalan pintas. Bersedia tidak bersedianya kita pada hari itu bergantung kepada persiapan kita hari ini.








Alhamdulillah, selesai menulis entry ini, seudah genap 2 hari aku pulang ke Malaysia. Ingin mencari usrah dan daurah agar dapat ku manfaatkan sepenuhnya.